Friday, 13 March 2015
Kelebihan Dinar Emas
Saya amat tertarik dengan dinar emas, dan saya telah pun membelinya beberapa keping sebagai koleksi.
Mengapa beli? Boleh baca di bawah...
ZAMAN membuktikan nilai intrinsik Dinar emas dan Dirham perak adalah statik dan tidak berubah. Itulah tonggak kestabilan nilai Dinar Dirham yang berjaya menafikan inflasi.Sejak mula digunakan pada era Rasulullah SAW hingga sekarang, nilai tukaran Dinar dan Dirham tidak mengalami perubahan ketara kerana setiap 1 Dinar (sekitar harga RM700) masih boleh membeli seekor kambing yang berkualiti manakala 1 Dirham bersamaan RM25 masih mampu membayar harga seekor (bahkan 2 ekor ayam) sekarang!Nah, ternyata ke mana dan bila masa pun sekeping Dinar berkomposisi 4.25 gram emas 22 karat dan sekeping Dirham 2.975 gram perak tulen dibawa, nilainya tidak akan berubah dari aspek berat, sifat dan nilai kerana Dinar dan Dirham adalah wang nyata yang dijamin oleh dirinya sendiri sebagai logam ciptaan Allah yang memang mahal harganya.
Sebagai bukti, keunggulan wang Dinar dan Dirham mampu menyimpan harta secara tetap, nilainya tak pernah berkurang, walau disimpan di mana dan pada bila-bila masa pun dapat disahihkan dengan menimbang tara fakta dan data di atas neraca ekonomi. Sekali lagi masa tanpa gagal merekodkan selama tempoh 9 tahun (1988-1997), dunia mengalami defisit emas sebanyak purata 319 tan setahun, tetapi harganya tetap relatif stabil kerana nilai (harga) emas tidak pernah tertakluk kepada kanun ekonomi seperti lakaran keluk penawaran dan permintaan.
Emas terbukti bebas dari segala kesan krisis ekonomi contohnya pada tahun 1995, terjadi krisisPeso Mexico di mana nilai emas negara itu naik 107% dalam waktu tiga bulan. Manakala tahun 1997 merakam krisis ekonomi Asia Timur dengan kenaikan nilai emas di Indonesia sebanyak 375% dalam masa tujuh bulan. Setahun selepas itu krisis Rubel di Rusia mencatatkan kenaikan nilai emas di Rusia sebanyak 307% dalam tempoh lapan bulan.Ringkasnya, meskipun harga emas dalam Dollar turun sekitar 30% sejak 1990, purata harga emas di dunia tetap naik setinggi 20%.Ternyata, Dinar dan Dirham adalah wang yang mampu mewujudkan sistem kewangan global yang berkeadilan kerana Dinar lebih mudah diterima masyarakat dengan hati terbuka tanpa perlu "legal tender" atau "law enforcement ".
Penggunaan Dinar turut mempromosikan perdagangan antarabangsa kerana berjual-beli dengan Dinar akan menjimatkan kos transaksi. Sekiranya Dinar digunakan sebagai mata wang tunggal dunia Islam, maka untuk menukar wang dari satu jenis mata wang ke mata wang lainnya tidak lagi memerlukan kos sebagaimana yang berlaku dalam tatacara tukaran wang asing yang menggunakan wang kertas hari ini.
Justeru itu, berjual-beli dengan mata wang syariah Dinar Dirham pastinya lebih menjamin kedaulatan dan keutuhan sesebuah negara dari dominasi ekonomi, budaya, politik dan ideologi negara barat contohnya, Amerika yang dengan mudah mencampuri urusan pentadbiran Indonesia dengan meminjamkan Indonesia not-not kertas Dollar tanpa sokongan nilai emas. Adakah dikira bijaksana untuk meminjam kertas-kertas yang hanya bercetak angka-angka tertentu sahaja yang sama sekali tidak memiliki nilai intrinsik?Maka, adakah lagi medium lain yang wajar digunakan untuk dijadikan sebagai wang selain emas dan perak yang menjadi zat utama dan yang setanding dengan Dinar dan Dirham?
Sumber dipetik dari:
http://kgt.com.my/2013/artikel/86-tiada-wang-setanding-dinar-dirham
Labels:
Dinar emas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment